10 Oktober 2016 - 05:58
Iran Dan Thailand Mahu Kukuhkan Hubungan Dua Hala.

Iran dan Thailand telah menyatakan hasrat bersama untuk membuka lembaran baru di dalam hubungan dua hala kedua-dua buah negara tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Iran dan Thailand telah menyatakan hasrat bersama untuk membuka lembaran baru di dalam hubungan dua hala kedua-dua buah negara tersebut.

Presiden Iran, Hassan Rouhani dan rakan sejawatnya dari Thailand, Prayuth Chan-o-cha membuat kenyataan tersebut di dalam sebuah mesyuarat yang berlangsung di Bangkok pada hari Ahad (9/10).

"Pada hari ini, kedua-dua kerajaan telah bersedia untuk memperluaskan kerjasama mereka di dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, dan juga lapangan saintifik," kata Rouhani. "Peluasan dan pengukuhan hubungan di antara Iran dan Thailand akan memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara di samping meningkatkan kerjasama di antara rantau," tambah beliau.

Menurut presiden Iran, Thailand boleh menjadi penghubung ekonomi di antara Iran dan Asia Tenggara. Beliau juga mengundang sektor swasta untuk sama-sama meningkatkan kerjasama Tehran-Bangkok.

Presiden Rouhani juga menggariskan keperluan untuk memperkukuhkan kerjasama perbankan di antara kedua-dua buah negara di dalam rangka memperkuatkan hubungan ekonomi Tehran dan Bangkok.

Rouhani juga mengatakan bahawa Iran dan Thailand dalam masa yang terdekat mampu untuk menggandakan perdagangan mereka dengan melaksanakan perjanjian-perjanjian dan projek-projek usahasama.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa Thailand, nilai perdagangan di antara Tehran dan Bangkok mencecah $794.46 juta.

Rouhani sebelumnya melawat Vietnam dan Malaysia di dalam siri lawatannya ke negara-negara Asia Tenggara.